[KEBAIKAN BEKAM UNTUK LELAKI DAN WANITA] Sudah lama saya ingin menulis tentang kebaikan berbekam. Apatah lagi setelah beberapa kali berbekam. Namun, kekurangan maklumat menyebabkan saya terpaksa menagguhkan hasrat tersebut. Dari sudut pengalaman, setelah beberapa kali berbekam, saya dapati perubahan yang ketara pada diri. Paling ketara ialah tubuh akan rasa lebih ringan dan tidur juga semakin senang dan tenang. Syukur kepada Allah, kerana info atau maklumat mengenai berbekam termasuklah kebaikannya turut disiarkan dalam akhbar Sinar Harian pada minggu lepas. Jadi untuk entry kali ini, saya sekadar ingin melebar luaskan info tersebut. KAEDAH rawatan bekam, yang wujud sejak zaman purba Greek ribuan tahun, semakin diyakini terutama di negara-negara Islam sebagai kaedah perubatan yang dikatakan dapat membantu menyembuhkan penyakit terutama yang kronik. Bekam adalah kaedah membuang toksin dengan mengeluarkan darah kotor dari permukaan kulit sepertimana yang diamalkan Rasulullah SAW dan para sahabat. Diperkuatkan dengan beberapa hadis sahih yang menjelaskan mengenai rawatan bekam, ia dikatakan sebagai kaedah yang boleh membantu mengubati segala penyakit. Di Malaysia, walaupun rawatan bekam semakin meluas terutama di pusat-pusat rawatan bekam dan pusat rawatan kecantikan, namun masih terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat untuk mengamalkannya. Keadaan ini timbul berikutan terdapat kekeliruan daripada andaian-andaian negatif antaranya perempuan tidak perlu berbekam kerana akan mempercepatkan proses menopaus, berbekam akan menyebabkan darah bertambah kurang, ketagihan untuk berterusan melakukan bekam selain tidak yakin kaedah itu mampu menyembuhkan penyakit terutama penyakit-penyakit kronik. Kekeliruan perubatan bekam Kegagalan menjelaskan secara saintifik rawatan bekam dan kebaikannya mungkin antara punca wujudnya andaian-andaian itu. Pengusaha dan pakar rawatan bekam, Pusat Homeopati, Refleksiologi dan Bekam Al-Jawad, Dr (homeopati) Ibrahim Burhanuddin berkata seseorang pengamal rawatan perubatan bekam harus mempunyai ilmu bukan sahaja ilmu bekam tetapi ilmu-ilmu berkaitan dengannya seperti psikologi dan saraf. Beliau yang telah berpengalaman lebih 17 tahun dalam rawatan bekam berkata, masyarakat hari ini yang berpendidikan tinggi dan terbuka, mahu mengetahui secara saintifik satu-satu rawatan itu sebelum bersetuju untuk melakukannya. “Ramai pengusaha yang kurang mahir, jadi apabila ditanya apa tujuan bekam, macam mana fungsi setiap rawatan itu kepada anggota badan, mereka gagal menjelaskannya. “Ini menyebabkan masyarakat tidak faham dan ia antara kekangan mengapa rawatan bekam sukar untuk pergi lebih jauh sepertimana bidang perubatan akupuntur yang mendapat pengiktirafan dunia,” katanya. Berkongsi pengalamannya sendiri, beliau berkata segalanya bermula pada tahun 1991 setelah mencuba rawatan bekam bagi mengubati penyakit gastrik dan paru-paru berair yang dialami sejak sekian lama. Setelah mencuba pelbagai ubat, masih gagal merawat penyakit yang dihidapi hingga beliau mencuba rawatan bekam dan kemudian pulih dari penyakit itu. “Dari situlah saya mengkaji dan belajar kaedah rawatan bekam daripada beberapa guru termasuk seorang guru bekam dari Korea. Saya kaji bagaimana bekam boleh menyembuhkan penyakit dan bagaimana ia menjadi perubatan terbaik sepertimana yang dinyatakan dalam hadis Nabi,” katanya, yang turut mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang homeopati dari Universiti Sumatera Utara, Indonesia. Toksin punca penyakit? Daripada kajian-kajian perubatan, penyakit yang singgah dalam tubuh individu itu berpunca daripada toksin. Ia diumpamakan seperti sampah yang menyebabkan tiga pembuluh darah iaitu ateri, vena dan kapilari menjadi sempit dan lemah hingga tidak mampu menjalankan tugasnya dengan sempurna. Ketiga-tiga pembuluh darah ini jika disambungkan akan menjadi sepanjang 96 kilometer, menurut Ibrahim. Ia perlu dibersihkan bagi membolehkan ia mengalir dengan lancar. Jelas beliau, apabila darah tidak dapat mengalir…