Presiden PAS dianugerah Tokoh Murabbi Ummah YAHANI ALI | 08 Disember 2014. KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dianugerahkan sebagai Tokoh Murabbi Ummah bersempena Majlis Makan Malam Sambutan 40 Tahun PAS Wilayah Persekutuan Bersama Presiden, kelmarin…. Anugerah berprestij itu telah disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad di hadapan tetamu yang hadir dalam majlis tersebut yang memenuhi Dewan Dato’ Fadzil Noor, KUIZM dekat sini. (Foto atas) Menurut pengarah program, Mohamad Najib Ahmad pemilihan Tuan Guru Presiden adalah berdasarkan kecemerlangan dan ketokohan beliau yang bukan sahaja dalam memimpin Gerakan Islam di Malaysia yang disegani oleh kawan dan lawan bahkan sumbangan melangkaui sempadan serta mendapat pengiktirafan antarabangsa. Baru-baru ini, ujarnya Presiden PAS telah diberikan penghormatan memegang jawatan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia yang menghimpunkan ulama-ulama dunia. Katanya, kepakaran Tuan Guru Abdul Hadi yang luas lagi mendalam dalam ilmu-ilmu agama meletakkan beliau pada kedudukan yang paling tepat sebagai ulama ulung di rantau ini dan di pentas antarabangsa. “Gabung jalin antara kepakaran ilmu dan kebijaksanaan beliau dalam mengemudi bahtera percaturan politik tanah air dan antarabangsa menyerlahkan lagi kelayakan beliau sebagai murabbi ummah,” ujarnya. Justeru, kata beliau di atas sumbangan besar tersebut maka PAS Wilayah Persekutuan menganugerahkan kepada Presiden PAS sebagai “Tokoh Murabbi Ummah” bersesuaian dengan sumbangan dan ilmu yang beliau miliki. “PAS Wilayah Persekutuan sentiasa mengharapkan Datuk Seri Tuan Guru Presiden terus memimpin PAS dan ummah,” ujar Mohamad Noor ketika ditemui dalam Majlis makan malam tersebut. Turut hadir dalam majlis yang gilang gemilang itu ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, veteran PAS, Haji Ahmad Subky Abdul Latif di samping tetamu kehormat lain yang turut menerima anugerah pada malam tersebut. Para pengantin yang diraikan mendapat penghormatan menerima plak istimewa dari PAS Wilayah Persekutuan yang disampaikan sendiri oleh Tuan Guru Presiden. See More http://ow.ly/FA12y