Teori pesawat MH370 dirampas semakin kuat MAR 14, 2014 HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Adakah pesawat MH370 milik penerbangan Malaysia dirampas dan ‘dibawa lari’ ke lokasi yang tidak diketahui? Kemungkinan itu sedang disiasat agensi perisikan Amerika Syarikat, lapor Wall Street Journal, edisi 13 Mac lalu. Wartawan akhbar tersebut, Andy Pasztor dan Jon Ostrower mendedahkan hasil penyiasatan agensi perisikan Amerika Syarikat ke atas kehilangan misteri MH370. Antara hasil siasatan adalah MH370 telah terbang selama 5 jam, iaitu satu jam sebelum ia hilang dari radar Trafik Kawalan Udara Vietnam pada jam 1.30 pagi Sabtu, 8 Mac 2014 dan 4 jam lagi selepas itu. Para penyiasat juga mengkaji kemungkinan kapal terbang itu telah mendarat di suatu lokasi yang tidak diketahui dengan juruterbang atau orang lain dari kalangan penumpang telah mengubah haluan kapal terbang dan mematikan alat transponder kapal terbang itu bagi mengelakkan dikesan radar. Penyiasatan masih di peringkat awal dan para penyiasat belum lagi menemui bukti-bukti jelas untuk menyokong teori bahawa kapal terbang itu dirampas pengganas atau disabotaj. Pegawai-pegawai dari jabatan keselamatan nasional Amerika Syarikat dilapor belum menemui sesuatu yang spesifik untuk menyimpulkan bahawa kapal terbang itu dirampas oleh pengganas. Namun, mereka belum lagi menolak secara konklusif bahawa kehilangan MH370 sama sekali tidak ada kena mengena dengan keganasan, lapor akhbar tersebut. Dua persoalan yang amat membingungkan para penyiasat adalah ke mana kapal terbang itu meneruskan penerbangan dan mengapa alat transpondernya dimatikan? Ini menyebabkan timbulnya teori di kalangan penyiasat bahawa kapal terbang itu telah “diambilalih dan dikuasai” oleh pihak lain untuk tujuan tertentu. Teori ini dimaklumkan kepada pegawai jabatan keselamatan nasional Amerika Syarikat dan pelbagai agensi berkaitan. Sehingga 12 Mac, tiada sebarang maklumat diperolehi bagi menunjukkan kapal terbang itu telah tiba di suatu lokasi lain – mungkin beratus-ratus batu dari lokasi di mana gerakan mencari dan menyelamat sedang berjalan. Juga tidak diketahui sama ada kapal itu telah terhempas. Sementara itu Washington Post melaporkan, bukti pesawat MH370 terbang selama empat jam lagi selepas hilang pada Sabtu datang daripada data yang dikongsi oleh pihak berkuasa Malaysia dan bukan pembuat enjin Rolls Royce. Jurucakap White House, Jay Carney berkata pihak berkuasa akan memperluaskan pencarian Boeing 777-200ER ke Lautan Hindi, melebarkan kawasan pencarian beratus kilometer ke barat. Pegawai pentadbiran Barack Obama kemudiannya berkata, maklumat terbaru adalah mengenai enjin pesawat terus hidup empat jam selepas hilang daripada radar awal pagi Sabtu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Terdapat 239 orang dalam pesawat tersebut. | Kerja Sambilan Internet Income RM3,688,933.00 http://ow.ly/uA1Ky