Kezaliman ini akan percepat tumbangnya BN, insya Allah MAR 08, 2014 TUAN IBRAHIM TUAN MAN “Kezaliman adalah kegelapan di hari akhirat.” Itulah amaran Rasulullah S.A.W agar semua pihak menghindari apa jua bentuk kezaliman. Bahkan kezaliman juga adalah dosa besar yang diingatkan oleh Allah agar jangan sesekali kita cenderung untuk menyokong golongan yang zalim, kelak akan disambar oleh api neraka di akhirat. Terdapat banyak hadis Rasulullah .S.A.W yang memberi amaran agar kita menjauhi perbuatan yang zalim, atau menyokong golongan yang zalim bahkan dilarang berjalan bersama orang yang zalim bagi membantu kezaliman mereka. Dalam sepotong hadis Rasulullah S.A.W Baginda memberi amaran: “Sesiapa yang berjalan bersama orang yang zalim bagi membantunya (melakukan kezaliman), dalam keadaan dia tahu orang yang bersamanya melakukan kezaliman, maka ia terkeluar dari lingkungan orang Islam.” Semua peringatan ini adalah peringatan Allah dan Rasul S.A.W bertujuan agar kita menegakkan keadilan, memperjuangkannya dan menyokong sebarang usaha bagi menegakkan keadilan di atas muka bumi. Bahkan Al Quran menegaskan, “Berlaku adillah kamu, kerana adil itu hampir dengan taqwa.” Atas landasan inilah PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) menggerakkan seluruh tenaga bagi memperjuangkan keadilan berteraskan ajaran Islam, yang bersifat rahmat untuk semua. Perjuangan panjang ini tidak akan berakhir hanya dengan kemenangan beberapa buah negeri, bahkan menguasai Putrajaya sekalipun, kerana ia adalah perjuangan sepanjang zaman dan berterusan. Tindakan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ratusan insan lain dalam sejarah perjuangan PAS dan rakyat megara ini, adalah lanjutan kerakusan parti pemerintah untuk menyekat apa jua ruang kebangkitan rakyat.   Tindakan ini berlaku dalam sepanjang sejarah perjuangan umat manusia. Sayangnya pemimpin yang bertindak zalim gagal mengambil pengajaran di atas tindakan zalim mereka kepada rakyat. Puluhan kerajaan besar tumbang akibat kezaliman mereka kepada rakyat. Kemana berakhirnya rejim Firaun yang membunuh anak-anak kecil kerana bimbang dengan kelahiran seorang lelaki yang bakal menumbangkan kerajaannya. Demikian juga ke mana perginya Hamam, Qarun, Namruz, Abu Lahab, dan ratusan rejim di zaman kita. Kekuasaan dan keegoan mereka tumbang menyembah bumi dan mereka menerima pembalasan di atas kezaliman mereka. Kita yakin apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan lebih mengukuhkan hubungan PR dan menyemarakkan kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman ini.   PAS yakin dengan janji Allah bahawa kebatilan tidak akan kekal walau kelihatan teguh dan kukuh, manakala keadilan akan tetap mencapai kemenagan, walau kelihatan ia lemah dan tidak ampuh. Sempena konvensyen PR kali ini, dalam mana kita menghadapi suasana sedih penganiayaan kepada DSAI, kes Karpal Singh, tragedi pesawat MAS yang terhempas, dan PAS kehilangan beberapa tokoh utama parti, mari kita hadapinya dengan penuh ketabahan, kesabaran, kesepakatan, pengukuhan hubungan PR serta membina gelombang kebangkitan rakyat bagi menumbang kerajaan BN dalam PRU akan datang. Insya Allah. Allahu akhbar. Tuan Ibrahim Tuan Man Naib Presiden PAS | Kerja Sambilan Internet Income RM3,688,933.00 http://ow.ly/unWic