Kartun: Zunar beri syarahan di universiti Amerika JAN 16, 2014 HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Walaupun tidak dibenar berwacana di universiti tempatan, sebuah universiti di Amerika memberi penghormatan kepada kartunis Zunar (gambar) untuk menyampaikan syarahan di sana. Beliau dijemput untuk memberi ucaptama di “Syarahan Tahunan mengenai Demokrasi Asia” di University of Louisville, Kentucky pada 22 Januari, Rabu, demikian menurut satu kenyataan yang dipetik dalam laman web zunar.my. Dengan tema “Berjuang Melalui Kartun”, Zunar berkata beliau akan mendedahkan cabaran yang dihadapi olehnya sebagai kartunis politik di negara penindasan seperti di Malaysia. “Mereka akan diberitahu mengenai penahanan saya di bawah Akta Hasutan, pengharaman buku-buku komik saya, dan tekanan ke atas pencetak dan pekedai,” kata Penerima Anugerah Antarabangsa Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial itu lagi. “Saya juga akan menyentuh mengenai isu seperti kekangan terhadap hak asasi di Malaysia, begitu juga isu-isu penting seperti pembunuhan Altantuya, skandal Scorpene, konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, isu rasuah dan kontroveri isu nama Allah,” tambahnya. Di samping itu, beliau juga akan mengendalikan beberapa kelas melukis kartun untuk pelajar-pelajar seni dan media universiti tersebut. Pameran solo kartun saya juga akan diadakan di situ. Pameran Zunar sebelum ini diadakan di Bilbao (Sepanyol), London dan Shah Alam, Selangor. Menurut maklumat dari pihak universiti, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaq adalah orang ketiga dipilih untuk menyampaikan ucapan di acara tahunan ini. Pemidato sebelum ini ialah aktivis Hak Asasi China yang dipenjara 18 tahun, Harry Wu (2013) dan bekas Duta Amerika ke Burma, Derek James Mitchell (2012). Sementara itu, Pengarah Pusat Demokrasi Asia, University of Louisville Dr Jason P. Abbott berkata Syarahan Tahunan Pusat Demokrasi Asia disampaikan setiap tahun oleh individu yang terlibat secara langsung dalam perjuangan demokrasi. “Dakwaan Akta Hasutan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia terhadap Zunar, menggambarkan penggunaan undang-undang yang mencengkam untuk mengekang kebebasan oleh kerajaan Malaysia. “Ia juga menunjukkan bahawa perjuangan menegakkan kebebasan bersuara tidak hanya diperjuangkan oleh para aktivis, tetapi juga oleh artis, pelawak dan kartunis,” kata Dr Jason. Kentucky adalah bandar singgahan pertama beliau dalam program “”Berjuang Melalui Kartun” jelajah Amerika. Destinasi seterusnya ialah Washington DC di mana beliau akan mengadakan sesi dialog dan promosi buku di sebuah gedung buku terkenal, Busboys and Poets pada 29Januari di mana beliau akan mempromosi buku terbaru, The Pirate of the Carry-BN. “Ini adalah promosi buku pertama saya di kedai buku dan anehnya ia berlangsung di luar Malaysia!” sindirnya. Acara seterusnya ialah dialog dengan warga Malaysia di New York pada 1 Febrauri. | Kerja Sambilan Internet Income RM3,688,933.00 http://ow.ly/sDAxO