Amalkan sifat agung Rasulullah s.a.w. JAN 14, 2014 HARAKAHDAILY FIRMAN Allah SWT (Surah Al-Ahzab ayat 21) yang bermaksud “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” Bersempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, marilah kita bersama-sama ingat-mengingati bahawa bulan Rabiul Awwal ini adalah bulan bagi seluruh umat Islam menyambutnya dengan penuh keinsafan akan sejarah kelahiran dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dihayati. Ia juga bertujuan untuk sama-sama kita mengagungkan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin agung kita, pembawa rahmat dan suri teladan untuk sekalian umat di dunia ini. Sebagaimana maksud ayat Al-Quran (Surah Al-Ahzab) ini, ia mengandungi penegasan daripada Allah SWT agar kita mengambil contoh daripada Nabi Muhammad s.a.w. Maksudnya hendaklah apa yang ditunjukkan oleh diri Rasulullah itu (segala sunnah baginda) diambil dan dijadikan ikutan, manakala segala larangan wajiblah ditinggalkan. Justeru, bagi umat Islam diharapkan agar semangat Maulidur-Rasul ini kita hayati dengan sebenar-benarnya dijadikan budaya kerja kita sehari-hari. Dalam hal ini, saya cadangkan agar kita mengamalkan semua sifat agung baginda Rasulullah s.a.w. ––siddiq (benar), amanah (benar-benar boleh dipercayai), tabligh (menyampai seruan) dan fatonah (cerdik). Misalnya sifat Amanah yang menjadi sifat yang wajib bagi setiap Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT. Amanah adalah teras kecemerlangan, kebahagiaan dan kemakmuran hidup di dunia dan di akhirat. Mereka yang mengabaikan sifat amanah adalah mereka yang menempah kegagalan, penderitaan dan kecelakaan bukan sahaja di dunia bahkan di Hari Pembalasan nanti. Justeru, tidak hairanlah semakin tinggi taraf jawatan yang disandang maka tinggilah amanah yang dipikul dan besarnya beban tugas serta beratnya amanah yang dipikul. Setiap kita ini (hamba-Nya), tentunya mempunyai senarai tugas yang diamanahkan kepadanya untuk ditunaikan dan ia hendaklah dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Dalam menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan, maka setiap kita ini mestilah mengutamakan tugas asasi masing-masing, terutama di dalam menghayati tuntutan Allah dan Rasul melebihi kepentingan peribadi. Demikian pula, dengan sifat fatonah iaitu cerdik. Kecerdikan baginda Rasulullah s.a.w. berasal daripada panduan wahyu manakala kita sebagai umatnya hendaklah sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran bagi menjadikan kita juga sekurang-kurangnya mempunyai nilai fatonah dalam menjalan tugasan termasuk urus tadbir di peringkat kerajaan mahu pun swasta. Akhir kata, semoga sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini dapat menguatkan lagi azam dan impian kejayaan kita untuk menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w. yang cemerlang dan bakal menerima syafaatnya di akhirat kelak. Datuk Ahmad Yakub Menteri Besar Kelantan | Kerja Sambilan Internet Income RM3,688,933.00 http://ow.ly/sAV83